PULAU PINANG 20 Jan. – Sebuah kereta didapati terjunam ke dalam laut susulan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2.45 pagi itu, seorang pemandu kereta jenis Toyota Vios berusia lingkungan 20-an turut cedera ringan.
“Mengikut maklumat orang awam terdapat sebuah lagi kenderaan telah terjatuh ke dalam laut namun maklumat mengenai kenderaan ini masih belum dikenal pasti.
“Operasi pencarian kenderaan yang terjatuh ke dalam laut turut dibantu oleh polis marin,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









