[VIDEO] Dr. Mahathir jumpa pengusaha stesen minyak - Utusan Malaysia

[VIDEO] Dr. Mahathir jumpa pengusaha stesen minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Jan. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pagi ini telah bertemu dengan pihak Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Dalam pertemuan selama 45 minit itu, Dr. Mahathir mengadakan pertemuan dengan Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz bersama empat ahli persatuan itu di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Khairul Annuar berkata, antara perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu merangkumi cadangan dan kebimbangan persatuan itu berhubung isu harga minyak.

“Kita membincangkan semua cadangan dan mengetengahkan kebimbangan kita. Beliau dilihat sangat memahami.

“(Namun begitu) Tiada keputusan dibuat lagi dan Dr. Mahathir baru sahaja ke mesyuarat Kabinet. Kita menunggu hasil daripada mesyuarat berkenaan. Setakat ini, tiada apa boleh saya katakan sehingga ada keputusan daripada Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Kerajaan dilaporkan akan membuat keputusan mengenai harga petrol dan diesel dalam mesyuarat Kabinet hari ini selepas mendapatkan pandangan daripada pembeli dan pengusaha stesen minyak.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan mahu menurunkan harga petrol dan diesel tetapi pada masa sama perlu mengambil kira masalah dihadapi golongan pengusaha berkenaan.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan harga runcit minyak tidak akan berubah pada minggu pertama 2019 dengan RON97, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Guan Eng berkata, penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baharu 2019.

Pada 23 Disember lalu, beliau mengumumkan bahawa mulai 1 Januari lalu, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan.

Berikutan itu, PDAM menentang keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.

PDAM juga meminta kerajaan menaikkan komisen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung.

Kali terakhir komisen dinaikkan adalah pada 2008 dan sewhingga kini pengusaha menerima komisen sebanyak 12.19 sen untuk petrol dan tujuh sen untuk diesel. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN