SEREMBAN 30 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas lebih 1,000 pasang kasut dan baju Adidas tiruan bernilai RM170,000 dalam serbuan di sebuah pasar raya di sini kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat yang dikemukakan pemilik cap dagang dan risikan selama tiga hari di premis berkenaan.
“Kasut dan baju ini dijual di sebuah tapak yang disewa di dalam premis itu. Kasut dan baju dijual kira-kira RM50 lebih murah berbanding harga jenama sebenar iaitu kasut pada harga RM89 sepasang manakala baju antara RM199 hingga RM259 sehelai.
“Pembeli menyangkakan kasut itu jenama sebenar yang dijual di tapak pasar raya itu pada harga diskaun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Zubir berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 22 tahun yang merupakan jurujual kasut dan baju terbabit dan mereka dilepaskan pada hari sama selepas memberi keterangan.
Menurut beliau, pihaknya sedang mengenal pasti dalang sebenar penjualan kasut dan baju Adidas tiruan tersebut termasuk dari mana barang itu diperoleh serta dalam proses mengambil keterangan pemilik pasar raya berkenaan.
Jelas beliau, siasatan mendapati dalang penjualan kasut dan baju jenama tiruan itu menjalankan aktiviti mereka dengan menyewa tapak perniagaan di pusat beli-belah bagi mengelak di kesan pihak berkuasa.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987 dan jika sabit kesalahan syarikat terlibat boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang.
Ujarnya, bagi individu pula boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE











