Usah biarkan Yadim jadi mangsa tohmahan - Utusan Malaysia

Usah biarkan Yadim jadi mangsa tohmahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Jan. – Penstrukturan baharu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) terutama pelantikan wakil DAP sebagai salah seorang ahli lembaganya dikhuatiri hanya akan menyebabkan lebih banyak tohmahan dilemparkan kepada yayasan itu.

Naib Presiden Pas, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP dilihat sebagai parti yang paling kerap menentang agenda Islam di negara ini dan penyertaan wakilnya ke dalam Yadim meskipun individu tersebut beragama Islam tidak akan mengubah hakikat itu.

Malah kata beliau, walau apa pun alasan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, keputusan tersebut telah pun dipandang serong oleh masyarakat sekali gus menjejaskan imej Yadim sebagai pertubuhan dakwah.

“DAP ini kalau kita tengok perlembagaan dan perjuangan parti, dia mempertahankan negara sekular dan banyak menentang agenda Islam. Jadi tidak sesuai wakil DAP ada dalam Yadim kerana parti dia sendiri memang tidak suka pada Islam.

“Susah hendak bersangka baik sebab tindakan (melantik wakil DAP) sendiri pun sudah menimbulkan tohmahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Semalam, Mujahid mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Omar Ali dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, sekali gus menjadi wakil DAP pertama yang memegang jawatan dalam institusi agama kendalian Kerajaan Pusat.

Sheikh Omar merupakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penerangan dan Ekonomi Kreatif Johor dan mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dakwah.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar menggesa kerajaan bukan sahaja tidak meneruskan pelantikan Sheikh Omar, malah menggantikan ‘muka-muka’ yang terlalu menonjol dengan politik dalam organisasi baharu Yadim itu dengan individu lain yang lebih berkelayakan.

“Sepatutnya Yadim sebagai pertubuhan dakwah Islamiah mestilah diduduki mereka yang tidak nampak jalur politik.

“Kalau zaman BN (Barisan Nasional) dulu pun, orang yang aktif politik tidak duduk dalam Yadim,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×