Undi PH atau hilang jawatan - Utusan Malaysia

Undi PH atau hilang jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Ketua-ketua kampung Orang Asli atau Tok Batin di Cameron Highlands diberi amaran supaya mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan 26 Januari ini atau berisiko kehilangan jawatan.

Amaran tegas itu disuarakan oleh Ahli Dewan Negara dari PKR, Senator Bob Manolan Mohamad sebagai berkata, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu menyokong agenda kerajaan.

Jelas beliau, PH hanya mahukan ketua-ketua kampung yang boleh memberikan kerjasama dengan kerajaan demi kebaikan mereka.

“(Tok) Batin ini memang dibayar oleh kerajaan Pusat, maka itu Batin kena sokong PH. Tak sokong kita buang. Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

“Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” katanya seperti dipetik portal Malaysiakini.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama Tok-tok Batin di Pos Betau, Jelai, hari ini.

Sesi dialog bersama pemimpin masyarakat Orang Asli dan wakil daripada 18 perkampungan Orang Asli Semai itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Januari ini dengan hari penamaan calon dijadualkan berlangsung esok manakala mengundi awal pula pada 22 Januari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN