SEREMBAN – UMNO merafak sembah tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selaku parti yang menyanjung tinggi Rukun Negara, khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, UMNO akan terus mencurahkan khidmat bakti serta ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara.
“Parti ini (UMNO) akan terus mengambil ikhtiar memastikan institusi diraja di negara ini, bukan sahaja dihormati dan dipertahankan…malah, menjadi inspirasi terbaik dalam membangunkan tanah air.
“UMNO yakin dan percaya, tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong XVI akan melonjakkan Malaysia ke persada yang lebih baik dan berjaya,” katanya dalam posting terkini Facebook beliau.
Katanya, UMNO turut mendoakan agar pemerintahan Yang di-Pertuan Agong XVI akan berjalan dengan lancar, diberkati serta aman makmur.
Pemilihan baginda diumumkan selepas semua Raja Melayu kecuali Kelantan, bersidang dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara untuk menentukan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu semalam.
Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Jan lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016. – Bernama










