SHAH ALAM 22 Jan. – UMNO akan menampilkan muka baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, selepas calon dan bekas penyandang kerusi itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk Johan Abdul Aziz mengumumkan menarik diri.
Johan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat membuat keputusan penting tersebut bagi memberi peluang kepada calon lain sekali gus memperlihat komitmen serta kesungguhan parti berkenaan untuk merampas kembali DUN itu daripada Pakatan Harapan (PH).
Serentak dengan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO negeri akan menyerahkan enam calon muka baharu yang diyakini mampu memberi kemenangan untuk diputuskan pucuk kepemimpinan parti.
Pada masa yang sama katanya, PRK DUN Semenyih juga akan menyaksikan kerjasama politik lebih erat antara UMNO dengan Pas dan bukan lagi seperti ketika di awal permulaan proses kerjasama di DUN Sungai Kandis serta Seri Setia sebelum ini.
“Enam calon ini ialah empat ahli daripada jawatankuasa wanita, pemuda dan bahagian manakala dua lagi adalah ahli profesional yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.
“Calon dipilih ini bukan berdasarkan jawatan dalam parti, sebaliknya individu yang diterima rakyat dan mempunyai potensi besar untuk menang,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pas Selangor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehen Mukhyi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Johan dan Ketua Muslimat Pas negeri, Wan Hasrina Wan Hassan.










