UK diancam jenayah pengambilan alkohol - Utusan Malaysia

UK diancam jenayah pengambilan alkohol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 31 Dis. – East London, Buckinghamshire dan Canterbury yang terkenal sebagai syurga kepada ‘kaki’ pub menjadi antara 222 lokasi ‘panas’ yang menjadi tumpuan jenayah dan zon bermasalah di United Kingdom (UK).

Menurut laporan portal Daily Mail, Kementerian Dalam Ne­geri mendedahkan, salah laku jenayah ekoran pengambilan alkohol di kawasan-kawasan itu melonjak sehingga 200 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Lokasi-lokasi itu menjadi tumpuan jenayah seperti pengedaran dadah, ragut dan pergaduhan.

Kelonggaran undang-undang pelesenan pada Mac 2007 lalu menyaksikan angka itu meningkat daripada 71 lokasi panas kepada 222 tahun ini.

Setiap tahun kerajaan terpaksa menanggung kos kira-kira 11 bilion pound (RM52 bilion) akibat jenayah yang disebabkan oleh pengambilan alkohol.

Setakat ini, terdapat kira-kira 212,700 premis berdaftar yang menjual alkohol di UK.

Sebanyak lapan lokasi bermasalah dikenal pasti di New­ham di timur London; Newcastle dan masing-masing enam di Islington di utara London; Sutton; Liverpool dan Leeds.

Ekoran itu kerajaan memin­ta ke­semua 94 pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menaikkan levi bagi premis alkohol yang beroperasi lewat malam sebagai membendung masalah itu daripada terus berleluasa.

Bagaimanapun setakat ini hanya lapan PBT termasuk Liverpool, Nottingham dan Newcastle yang bersetuju dan menaikkan levi sehingga 1.7 juta pound (RM8.04 juta).

Dengan pengenalan levi lewat malam, kerajaan akan mengumpul hasil pendapatan kira-kira 14.9 juta pound (RM70.45 juta) kepada negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN