KUALA LUMPUR 29 Jan. – Menyorokkan dadah ke dalam pakaian dalam wanita, telefon pintar, kasut dan bekas air untuk diseludup ke luar negara.
Perbuatan itu akhirnya terbongkar selepas seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Bukit Aman dan JSJN Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Prima Pelangi 3, Bukit Prima Pelangi, di sini pada 26 Januari lalu.
“Suspek akan mengubah suai pakaian dalam wanita, telefon bimbit, kasut dan bekas air untuk dimasukkan dadah sebelum diberi kepada keldai dadah untuk diseludup.
“Kita sedang siasat sama ada dia bergerak sendirian atau merupakan bekerja dengan mana-mana sindiket dadah,” katanya ketika ditemui dalam sidang di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Mazlan, pihaknya turut merampas dadah jenis ketamin seberat 3.7 kilogram bernilai RM125,000, dua pucuk pistol, selaras senjata jenis M4, dan dua kereta Mercedez masing-masing bernilai RM70,000 dan RM30,000.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati suspek juga bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar ibu kota dan Lembang Klang.
Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Januari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. – UTUSAN ONLINE










