MANCHESTER 29 Jan. – Jurulatih sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan memburu trofi lebih penting untuk Red Devils berbanding menamatkan saingan liga dalam empat kelompok teratas apabila dia mensasarkan mahu menjulang dua piala pada musim ini.
Mencatat lapan kemenangan berturut-turut sejak dia mengambil alih pasukan, Solskjaer mengubah kempen United yang sebelum ini kelihatan hambar ketika di bawah kendalian Jose Mourinho.
Ketika ini, United masih berada dalam saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara selain menunjukkan prestasi mendadak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malah mereka turut menjadi pencabar untuk menamatkan kempen di tangga ketiga.
Ketua jurulatih Tottenham, Mauricio Pochettino menjadi calon United untuk mengemudi pasukan itu berkata menamatkan saingan liga dalam kelompok empat terbaik serta tiket ke Liga Juara-Juara menjadi keutamaannya, bukan trofi.
Bagaimanapun, Solskjaer yang pernah menjulang pelbagai trofi ketika bersama United sebagai pemain di bawah kendalian Alex Ferguson mempunyai misi yang lebih penting.
“Saya berada di sini bukannya untuk berbincang apa yang diperkatakan oleh Pochettino atau pengurus lain cakap tetapi kami mahukan kejuaraan.
“Dan, kami tidak boleh menang liga musim ini, namun kami masih ada piala yang boleh diburu, kami akan cuba untuk memenangi Piala FA. Saya fikir setiap pengurus mahu
menenangi semua perlawanan jadi saya tidak fikir apa yang dia cakapkan.
“Jika anda memenangi trofi itu merupakan hari terbaik untuk semua orang di kelab, itu waktu terbaik dalam hidup anda dan anda tidak akan tahu apa yang berlaku selepas menjuarainya,” kata Solskjaer. – AFP











