KUALA LUMPUR 29 Jan. – Peguam Negara, Tommy Thomas perlu menerangkan secara terperinci tujuan sebenar penubuhan tribunal bagi menyiasat bekas-bekas ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah mula prosiding semalam.
Ini berikutan penubuhan tribunal itu telah membangkitkan spekulasi dalam kalangan pelbagai pihak khususnya masyarakat yang tertanya-tanya termasuk mempertikaikan sama ada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lalu tidak sah.
Bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, ada

sesuatu yang tidak betul apabila kerajaan menubuhkan tribunal itu tanpa menjelaskan kesalahan dilakukan ahli-ahli SPR berkenaan.
Jelas beliau, tribunal ditubuhkan untuk menjalankan siasatan bagi mencari punca sebelum mengambil sebarang tindakan jika disabitkan bersalah seperti kematian Teoh Beng Hock pada 2010 iaitu ingin mengetahui punca kematian dan prosedur yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tribunal siasatan SPR ini pula untuk apa? Jika bekas-bekas ahli suruhanjaya itu melakukan kesalahan paling serius maka mereka akan dipecat, isunya mereka memang telah letak jawatan.
“Jadi situasi sekarang mereka tidak boleh dipecat, sebaliknya hanya boleh dikenakan denda atau hukuman penjara kerana melakukan kesalahan teknikal. Persoalannya, adakah ia berbaloi sehingga perlu menubuhkan tribunal?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Salleh, agak sia-sia jika tribunal yang perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong itu ditubuhkan semata-mata ingin mengenal pasti kesalahan teknikal bekas-bekas ahli SPR.
“Macam sia-sia sahaja saya perhatikan, kecuali jika ada perkara yang belum diketahui dan dimaklumkan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili empat daripada enam bekas ahli SPR menggelar prosiding tribunal pada hari ini sebagai black Monday for the rule of law.
Kata beliau, Tommy telah memberi maklumat yang salah kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Yang di-Pertuan Agong dan kesannya, keputusan kerajaan menubuhkan tribunal adalah memalukan semua pihak.
“Tetapi saya yang mempunyai maklumat ini berkewajipan daripada segi profesion dan agama untuk membuat pendedahan ini.
“Saya akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan penubuhan Tribunal Khas bagi menyiasat salah laku Peguam Negara ini dan mencadangkan pemecatan beliau,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.











