KUALA LUMPUR – Jenama tumpuan utama Telekom Malaysia Bhd., (TM) unifi hari ini melancarkan unifi mudah alih baharu terdiri daripada empat pelan pascabayar bersempena Kempen #khabarbaik.
Pelan pascabayar baharu itu mempunyai kuota pecahan untuk evolusi jangka panjang (LTE) dan 3G, manakala bagi pilihan Unifi Mobile 19, pelanggan akan mendapat data 2GB (1GB LTE + 1GB 3G) dengan lima minit panggilan dan 25 SMS.
Pilihan seterusnya untuk RM29 sebulan mempunyai 3GB kuota (2GB LTE + 1GB 3G), manakala pelan RM39 sebulan memperuntukkan 5GB kuota (4GB LTE + 1GB 3G). Unifi Mobile 29 dan 39 dengan 50 minit panggilan dan 25 SMS.
Pemangku Naib Presiden Eksekutif Unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, adalah menjadi komitmen pihaknya untuk memastikan akses kepada sambungan Internet berpatutan dan lancar kepada rakyat Malaysia.
“Di mana teknologi membenarkan, TM akan menggandakan kelajuan Streamyx pada harga sama dengan pelan jalur lebar semasa.
“Kami sentiasa komited untuk membawa jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pelanggan melalui teknologi alternatif oleh syarikat atau penyedia infrastruktur lain,” ujarnya.
Pada 2017, TM memperkenalkan pelan mudah alih unifi bermula pada harga RM99 sebulan. – Bernama









