KUALA LUMPUR 19 Jan. – Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) yakin hak-hak Orang Asli dapat diperjuangkan apabila Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang.
Pengerusi JKOASM, Tijah Yok Chopil menyifatkan tindakan tersebut sebagai tepat malah berharap kejayaan memihak kepada mereka dan hak-hak masyarakat Orang Asli dapat dikembalikan.
“Saya mewakili komuniti Orang Asli khususnya JKOASM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Peguam Negara, Tommy Thomas atas kenyataan beliau berhubung tindakan prosiding mahkamah.
“Kerja keras semua pihak yang terlibat termasuk para aktivis membuktikan bahawa hak Orang Asli harus dihormati dan dikembalikan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Tommy memberitahu Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan antara lain untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang.
Tindakan itu di ambil berikutan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta dan mereka menebang hutan serta membawa keluar kayu balak. – UTUSAN ONLINE










