Tiga sahabat leka hisap dadah dicekup polis - Utusan Malaysia

Tiga sahabat leka hisap dadah dicekup polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Seorang pemandu pelancong dan dua penganggur yang leka menghisap dadah di sebuah rumah di Taman Ara Jaya, Padang Matsirat di sini terkejut apabila diserbu polis dalam Ops Tapis semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, tiga lelaki terbabit bertindak agresif dengan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pemeriksaan pada suspek pertama menemui satu beg berzip tergantung pada tali pinggangnya yang didapati mengandungi empat peket plastik lutsinar berisi heroin seberat 17.7 gram.

“Turut ditemui di dalam beg sama adalah 16 peket plastik lutsinar berisi syabu dengan anggaran seberat 5.78 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut menemui tiga keratan straw berisi dadah jenis heroin seberat 0.9 gram dan satu lagi keratan straw berisi syabu seberat 0.1 gram.

“Ketiga-tiga suspek berusia 26, 29 dan 34 tahun itu didapati positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Iqbal memberitahu, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki yang disyaki menjadikan sebuah rumah di Kampung Kuala Muda, Padang Matsirat sebagai tempat membungkus dadah pada pukul 12 tengah malam semalam.

“Kita menemui satu beg berzip mengandungi lima peket plastik lutsinar dan 57 keratan straw berisi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 33.16 gram serta empat peket plastik berisi syabu seberat 0.3 gram,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek berusia 26 tahun itu didapati positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Tambahnya, semua suspek yang ditahan dalam dua serbuan berasingan itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×