Tidak lagi kejar wang dan populariti - Utusan Malaysia

Tidak lagi kejar wang dan populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mencipta nama sebagai antara pelakon versatil dan disegani, langkah Nad Zainal dalam dunia yang menaikkan namanya sekian lama kini sudah berbeza.

Pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin ini mengambil keputusan untuk menolak tawaran drama bersiri kerana mahu memberi komitmen dan fokus terhadap keluarganya.

Bukan wang atau populariti yang menjadi taruhan, tetapi rumah tangga dan anak kecilnya kini menjadi keutamaan.

“Suami selalu cakap, sekarang bukan zaman untuk saya mengejar populariti seperti dulu. Iyalah…sebelum berkahwin wajah saya sering di kaca televsiyen kerana terlibat dalam drama bersiri. Bukalah apa saluran pun, pasti ada wajah saya.

“Saya sudah melalui zaman itu, jadi suami nasihatkan saya agar lebih bijak memilih naskhah dalam mengimbangi soal kerjaya dan rumah tangga. Untuk itu, saya hanya menerima tawaran telefilem kerana tempoh penggambarannya lebih pendek,” kata Nad yang pernah memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2018 menerusi telefilem Fatonah Razali arahan Shuhaimi Lua.

Namun dalam masa sama, Nad mengakui drama bersiri membolehkan seseorang pelakon mengekalkan momentum popularitinya. Justeru, ramai pelakon tempatan menjadikan platfrom tersebut sebagai cara untuk terus bertahan dalam bidang lakonan.

“Memang benar, jika tampil dalam drama bersiri populariti akan sentiasa mengiringi perjalanan seni seseorang pelakon. Namun, saya mengambil pendekatan berbeza dengan memilih telefilem yang boleh memberi impak besar kepada penonton meskipun hanya disiarkan selama dua jam.

“Ada juga yang bertanya adakah saya tidak berasa rugi apabila menolak tawaran drama bersiri? Bagi saya tidak sama sekali. Sebagai isteri dan ibu, saya harus mengutamakan rumah tangga. Soal rezeki itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya melalui drama bersiri.

“Mana mungkin saya boleh membiarkan suami dan anak di rumah dalam tempoh yang lama. Tidak sanggup rasanya. Saya mahu mencurahkan kasih sayang yang cukup buat anak dan suami,” kata Nad panjang lebar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN