KECOH sejak hampir seminggu lalu apabila cerita mengenai sekolah Tabika Kemas Taman Scientex, Pasir Gudang ditutup selepas kuncinya ditukar pihak berkuasa tempatan (PBT).
Cerita itu tular dalam media sosial hingga menarik perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang terkejut dengan penyebarannya. Dikatakan 60 murid tabika kemas di situ tidak dapat belajar.
Insiden berkenaan mengingatkan penulis dengan kejadian di sebuah kampung di Dungun, Terengganu semasa kerajaan Pas memerintah waktu itu dari 1999 hingga 2004 yang mengunci balai raya hingga murid-murid tabika kemas tidak dapat belajar.
Bagi memberikan penjelasan dan menjernihkan keadaan, satu mesyuarat khas diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Taman Dahlia, Pasir Gudang semalam yang bertujuan untuk merungkai permasalahan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh, Ketua Whip Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Wan Mohd. Hazan Amru Wan Hasbullah dan beberapa wakil lain daripada MPPG, tabika kemas serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) hadir.
Penulis yang turut dijemput dalam mesyuarat tersebut yang berjalan lebih satu jam, boleh menyimpulkan bahawa insiden tersebut seperti sudah dirancang pihak tertentu berdasarkan hujah, fakta dan bukti-bukti yang ditunjukkan.
Proses pertukaran kunci depan tabika kemas itu oleh pihak MPPG dijadikan kesempatan terbaik untuk memanipulasikan keadaan.
Tabika kemas itu tidak ditutup dan tiada kanak-kanak terpaksa belajar di gelanggang futsal. Perkara berkenaan tidak sewajarnya berlaku apabila kanak-kanak diperalatkan untuk tujuan politik hingga tersebar fitnah.
Tidak diketahui sama ada pertukaran kunci itu ada dimaklumkan kepada pihak tabika kemas tersebut, namun keputusan untuk menukar kunci di tabika kemas, balai komuniti, gelanggang futsal dan bangunan kerajaan lain yang berkaitan sudah diputuskan sebelum ini.










