KUALA LUMPUR 26 Jan. – Kenyataan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar yang meminta rakyat menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan berhubung kenaikan tarif air dibidas warganet.

Rata-rata warganet jelas tidak bersetuju dengan Xavier bahkan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Kuala Langat itu sebagai pelik kerana kerajaan sepatutnya mementingkan rakyat, bukannya menagih simpati.
Bagi Amranee Honey, kenaikan tarif air sepatutnya diletakkan sebagai kesalahan perancangan dan tanggungjawab itu perlu dipikul kerajaan.
“Nak naikkan tarif air atas sebab salah perancangan sendiri. Dah merayu pula meminta belas kasihan. Gila punya kerajaan. Tabung derma baru pun dah dilancarkan. Pelik,” katanya.
Shahidan Shafie pula berpandangan mengapa rakyat perlu bersimpati dengan kerajaan yang tidak mengasihani rakyat apabila mengabaikan janji-janji yang telah ditabur sebelum ini.
“Kasihani kerajaan! (Namun), kerajaan tak kasihani rakyat pun. Janji pun tak ditepati. Mana janji hapus tol, mana janji hapus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mana janji minyak turun sehingga RM1.50, mana janji harga barangan akan turun apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan?,” katanya.
Dalam pada itu, Farghani Mohammad berkata, sekiranya Pakatan Harapan (PH) masih lagi pembangkang ketika ini tentunya gabungan itu akan membantah apa yang dilakukan kerajaan berhubung kenaikan tarif air.
“Kalau PH pembangkang hari ini mesti mereka begitu gegak gempita membantah dan mengutuk kerajaan tetapi sekarang bila mana dah jadi kerajaan, mereka buat tidak tahu hal rakyat,” ujarnya.
Xavier dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Loji Rawatan Kumbahan Serantau 2, di sini, Rabu lalu berkata, rakyat perlu melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka sewajarnya menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan.
Xavier berkata, ini kerana kos utiliti air yang terpaksa ditanggung kini adalah sangat tinggi dan semua itu menggunakan peruntukan kerajaan.
Mohd. Tarmizi Samsi pula mempersoalkan adakah kenaikan tarif air itu merupakan harga yang terpaksa dibayar rakyat apabila menyokong PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Inilah akibatnya apabila kita memilih kerajaan yang tidak jujur. Mereka meletakkan kepentingan diri, kroni dan anak-beranak melebihi tanggungjawab membela rakyat,” katanya.










