KUANTAN 29 Jan. – Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah bertitah, pelantikan dan pemasyuran baginda sebagai Tengku Mahkota Pahang merupakan tanggungjawab yang diberikan Allah SWT untuk menjaga rakyat dan negeri ini.
Tengku Hassanal Ibrahim bertitah, baginda berbangga untuk seluruh rakyat kerana istiadat pelantikan dan pemasyuran hari ini adalah simbolik untuk menunjukkan adat resam Melayu di negeri ini.
“Saya akan meneruskan legasi dari nenek moyang sehingga ayahanda saya,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas istiadat itu di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Berhubung tugas sebagai Pemangku Raja sewaktu baginda menyambung pengajian di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, keputusan berhubung perkara tersebut masih belum diputuskan lagi.
“Jumaah Pemangku Raja masih belum diisytiharkan lagi, perkara itu saya sedang menunggu nasihat daripada ayahanda saya Sultan Pahang,” titah baginda.
Tengku Mahkota Pahang itu bertitah, baginda akan pulang ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada Jumaat ini selepas selesai istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UTUSAN ONLINE










