[VIDEO] BACHOK 3 Jan. – Masih ramai penduduk tidak menghiraukan amaran cuaca dan ombak besar sehingga sanggup menempah bahaya menjalankan aktiviti menjala dan mencari remis di sepanjang pantai di jajahan ini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya meningkatkan usaha menjalankan rondaan pesisir pantai untuk menasihatkan penduduk agar menjauhi kawasan yang berbahaya berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora siklon tropika.
Menurutnya, terdapat segelintir penduduk tidak mengetahui amaran tersebut dan menganggapnya sebagai keadaan yang lazim berlaku di musim tengkujuh.
“Kita meronda ke lokasi pantai dua jam sekali sepanjang 13 kilometer pantai di daerah ini khususnya kawasan yang menjadi tumpuan ramai.
“Antaranya ialah Kita meninjau pantai Pantai Kemayang, Pantai Kubang Golok, Pantai Melawi dan Pantai Irama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Yus Heary berkata, amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi mengenai siklon di Laut China Selatan perlu disampaikan kepada seluruh penduduk pesisir pantai agar mereka mengambil tindakan berwaspada.
“Seramai 30 anggota bersiap siaga di Balai Bomba Penyelamat manakala 10 anggota akan digerakkan dengan dua bot berkelengkapan menyelamat di air sekiranya berlaku kes kecemasan,” katanya.
Sementara itu di Pasir Puteh, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar mengetuai tinjauan pantai di daerah ini iaitu Pantai Tok Bali dan Pantai Bisikan Bayu mendapati tiada kunjungan orang awam berikutan ombak besar dan angin kencang.
Menurutnya, anggota bomba bersama Bahagian Penguat Kuasa Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) telah memasang bendera merah di lokasi strategik sebagai peringatan kepada orang ramai. – UTUSAN ONLINE










