Suri rumah mengaku tidak bersalah miliki wang hasil aktiviti haram - Utusan Malaysia

Suri rumah mengaku tidak bersalah miliki wang hasil aktiviti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.2 juta dua tahun lalu.

Tertuduh, Chang Lin San, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Hakim Mabel S. Muttiah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memiliki RM950,000 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun miliknya pada 13 September hingga 2 Oktober 2017 di Hong Leong Bank, Cawangan Jalan Besar, Susur 1, Seri Kembangan di sini.

Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki wang sejumlah RM250,000 hasil aktiviti haram daripada akaun miliknya pada 15 September hingga 2 Oktober 2017 di Hong Leong Bank, Cawangan Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idamasliza Maarof manakala tertuduh diwakili peguam Lim Yoi Ping.

Terdahulu, Idamasliza menawarkan jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin sebelum mahkamah menetapkan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, menurut sumber, mangsa meminta bantuan tertuduh untuk membeli hartanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui syarikat milik isterinya.

Pembayaran kemudiannya dibuat namun syarikat mendapati wang itu tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat tetapi ke dalam akaun peribadi tertuduh.

Mangsa kemudian mahu membatalkan pembelian hartanah tersebut namun tertuduh memberi pelbagai alasan selain tiada dokumen dikemukakan berkaitan urusan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN