JOHOR BAHRU 2 Jan. – Sungai Batu Pahat yang menjadi tular ekoran kemunculan seekor buaya semalam, memang menjadi antara habitat yang sesuai reptilia itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, hasil pemantauan dilakukan tahun lalu mendapati sekurang-kurangnya 60 ekor buaya menjadikan sungai itu sebagai habitat.
“Kewujudan buaya di sungai itu menunjukkan ekosistem sungai itu dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Semalam, tular rakaman video berdurasi 35 saat menunjukkan seekor buaya timbul di Sungai Batu Pahat sehingga menarik perhatian netizen di laman sosial.
Dr. Sahruddin berkata, mengikut rekod Jabatan Perhilitan Negeri Johor, sehingga hari ini, mereka tidak ada menerima sebarang aduan mengenai serangan atau konflik buaya dengan manusia.
Walau bagaimanapun, katanya, pihak terlibat akan sentiasa melakukan pemantauan berhubung perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE










