LONDON – Putera Philip (gambar kecil) iaitu suami Ratu Elizabeth II ‘amat terkejut dan menggeletar’ selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kenderaan pacuan empat roda Land Rover yang dipandunya terbalik pada bahagian sisi, kata seorang saksi.
Putera berusia 97 tahun itu memakai gelaran Duke of Edinburgh.
Philip keluar daripada kenderaannya tanpa mengalami kecederaan, namun, dua individu lain yang berada di dalam sebuah kereta lain cedera ringan dalam kemalangan itu kelmarin.
Kemalangan berlaku semasa Putera Philip memandu berhampiran Estet Sandringham, kata polis dan pihak Istana Buckingham.
Polis Norfolk berkata, dua wanita yang merupakan pemandu dan penumpang kereta jenis Kia itu dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital. Polis enggan mengesahkan tentang laporan yang mengatakan bahawa terdapat seorang bayi di dalam kereta tersebut.
Menurut portal berita Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), kenderaan yang dipandu Putera Philip terbalik apabila berlanggar dengan kereta Kia itu selepas beliau memandu keluar ke jalan besar dari Estet Sandringham.
Saksi kejadian, Roy Warne, 75, memberitahu akhbar The Sun bahawa Putera Philip sedar ketika ditarik keluar dari kenderaannya, namun berada dalam keadaan sangat terkejut dan menggeletar.
“Saya lihat kenderaan terbabit terbalik,” ujarnya sambil menambah, dia bergegas untuk membantu mangsa sebelum menyedari bahawa individu tersebut ialah suami Ratu Elizabeth II. – AFP










