SPR pandang serius pelanggaran undang-undang pilihan raya  - Utusan Malaysia

SPR pandang serius pelanggaran undang-undang pilihan raya 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS 21 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius laporan berhubung tindakan pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang didakwa melakukan pelanggaran undang-undang, peraturan dan etika semasa kempen pilihan raya berlangsung.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, antara laporan yang diterima pihaknya adalah membabitkan kesalahan seperti penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa dan agama dalam kempen mereka. 

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah mengadakan perbincangan segera bersama Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berhubung isu penggunaan kenderaan jabatan kerajaan semasa berkempen.

“Perbincangan tersebut diadakan bersama MCW selaku pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR bagi mengemukakan maklumat berhubung isu itu dan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Menurut beliau, pihaknya juga dimaklumkan terdapat laporan polis dibuat calon Barisan Nasional (BN) hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak polis.

Oleh itu katanya, SPR mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihan raya agar mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN