PULAU PINANG 29 Jan. – Tragedi 24 Oktober 2017 pasti tidak akan dilupakan buat seorang pekerja kilang, Siti Rahayu Abdullah, 26, apabila dia bersama 14 lagi pekerja kilang Plexus di Bayan Lepas terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa lapan pekerja kilang berkenaan di Kilometer 147 Lebuh Raya Utara Selatan.
Disebabkan kemalangan itu, Siti Rahayu terpaksa mengambil keputusan paling sukar dalam hidupnya dengan membenarkan doktor memotong kaki kanannya bermula dari paras lutut hingga ke bawah akibat jangkitan kuman.
Kira-kira 10 bulan diambil untuk anak kelahiran Kuala Kurau, Perak itu bangkit semula melawan kesedihan dan menerima hakikat dia mengalami kecatatan kekal akibat kemalangan itu.
Kini, Siti Rahayu mampu bangkit semula selepas kemalangan ngeri itu dan kembali bertugas sebagai kerani di kilang Plexus dengan bantuan yang diberikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Siti Rahayu berkata, selepas sebulan ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP), Perkeso membantu menempatkannya di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) di Melaka.
“Di situ saya memperoleh kembali semangat untuk teruskan hidup dan selama hampir lapan bulan berada di pusat tersebut saya bersedia berdepan dengan dunia pekerjaan semula.
“Sebelum ini saya bertugas sebagai operator pengeluaran di kilang, dengan kerjasama pihak majikan dan Perkeso saya kembali bekerja di kilang sebagai kerani,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian faedah sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Perkeso Georgetown, di sini hari ini.
Pada majlis itu, selain Siti Rahayu, seramai 24 orang terdiri daripada pekerja-pekerja berinsurans turut menerima bantuan faedah daripada Perkeso.
Menurut Siti Rahayu, dia turut menerima faedah hilang upaya kekal hari ini dan bersyukur kerana bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan keluarganya. – UTUSAN ONLINE










