Siput bayam digemari - Utusan Malaysia

Siput bayam digemari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR 13 Jan. – Selain udang, ketam dan ikan, sejenis siput yang dikenali siput bayam oleh penduduk di daerah ini merupakan antara makanan laut digemari ramai.

Siput bayam banyak terdapat di kawasan pesisiran pantai Kuala Bagan

Tiang dekat sini yang menjadi makanan pilihan selain daripada kerang.

Siput segar itu boleh didapati di daerah ini menyebabkan setiap hari pelantar nelayan di Kuala Bagan Tiang menjadi tumpuan orang ramai terma­suk peraih dan peniaga luar Kerian untuk membeli siput bayam.

Seorang peniaga dan peraih hasil laut, Abu Bakar Mat Isa, 58, merupakan antara peraih siput bayam di pelantar nelayan tersebut yang menjalankan perniagaan membeli hasil laut sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, pembeli bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan tetapi juga yang datang dari luar Daerah Kerian.

“Siput bayam yang dijual di sini masih segar kerana baharu sahaja dinaikkan dari bot nelayan dan dijual pada harga berpatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang nelayan, Zai­nal Abidin Che Rose berkata, mencari siput bayam perlu kecekalan hati kerana ia hidup di dalam pasir yang hanya boleh dinaikkan dengan cara menyelam dan me­nyauk menggunakan penyauk khas.

“Siput bayam seperti juga hasil laut yang lain, kadangkala jumlahnya banyak kadangkala sikit.

“Siput bayam merupakan makan laut yang digemari ramai terutama dimasak cili padi, kari dan sebagainya,” katanya.

Katanya, siput bayam juga se­ring dijadikan menu utama dalam majlis kenduri oleh penduduk di Bagan Tiang dan orang luar mengakui keistimewaannya.

“Siput bayam merupakan antara hasil laut di kawasan Kuala Bagan Tiang iaitu salah satu kawasan penempatan nelayan tradisional yang penting kerana ia menjana ekonomi penduduk terutama golongan belia yang mewarisi pekerjaan daripada keluarga mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×