SEJAK dilancarkan, kempen Simplysiti Di Hati 2018 sampai ke kemuncaknya apabila berjaya mengumpul dana berjumlah RM50,730 bagi membiayai kos pembedahan jantung tiga kanak-kanak kurang berkemampuan.
Dana itu dikumpul hasil daripada membeli sambil beramal iaitu RM5 disalurkan ke tabung Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) bagi setiap pembelian produk SimplySiti bernilai RM100 ke atas. Ia telah dirasmikan oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pada penghujung November 2018.
“Simplysiti mengambil inisiatif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini kerana tiada yang lebih menggembira dan membahagiakan kita semua selain dapat menyumbang serta menghulurkan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Pada awalnya kami menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM30,000 tetapi Alhamdulillah, kita dapat lebih daripada yang dijangkakan.
“Pihak Simplysiti menyumbangkan kutipan yang diperoleh iaitu RM50,730 kepada Pengerusi Kutipan Dana Yayasan IJN dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan IJN, Datin Raja Julini Mohd. Ali,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan replika cek di ibu negara, baru-baru ini.
Tiga kanak-kanak yang akan menjalani pembedahan jantung bermula Mac ini ialah Lam Zhe Yi, 10 bulan; Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 4, (April) dan Mahhaani Thayalan, 7, (Jun).
Disambut baik usaha murni itu oleh pihak IJN membuatkan penyanyi yang juga Presiden SimplySiti itu berbesar hati untuk terus menjalinkan kerjasama dan membantu mereka yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi.
“Sebelum ini program CSR yang dijalankan oleh SimplySiti sudah membantu 11 orang kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung.
“Saya memilih IJN atas kapasiti pihak mereka menyambut baik niat kami untuk meringankan beban keluarga pesakit.
“Malah IJN juga telah menyenaraikan beberapa nama kanak-kanak yang perlu menjalani pembedahan dengan segera. Inisiatif kami di SimplySiti adalah dengan menggerakkan kempen CSR sekali gus pembeli yang menggunakan produk kami dapat beramal,” jelas penyanyi itu yang sedang hits dengan single terbaharu berjudul Anta Permana.
Sementelah itu, Siti Nurhaliza memberitahu mengenai hasratnya untuk membantu lebih ramai pihak yang memerlukan. Beliau tidak mahu hanya tertumpu kepada pesakit komplikasi jantung semata-mata.
Jelasnya lagi, adalah menjadi cita-citanya untuk memberi senyuman kepada semua orang dan selagi hayat di kandung badan, beliau tidak mahu kempen murni itu terhenti.
“Saya memang ada impian nak bantu lebih ramai orang. Namun, hal sebegini memerlukan banyak perancangan agar tak lari fokus.
“Fokus itu amat penting sebab saya tidak mahu terlepas memberi perhatian dan sebagainya. Hal ini juga memerlukan komitmen berterusan.
“Saya buat sesuatu perkara mengikut perancangan yang dirangka lebih awal agar tidak lari daripada apa yang kita fokuskan. Insya-Allah, satu hari nanti CSR ini akan diluaskan lagi skopnya,” tutur Siti Nurhaliza.











