WASHINGTON 11 JAN. – PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengisytiharkan darurat sekiranya Dewan Kongres yang kini dikuasai Parti Demokrat enggan meluluskan pembiayaan dana bagi membina tembok sempadan di antara negara itu dengan Mexico.
Trump menyatakan perkara itu ketika beliau mengunjungi kawasan sempadan AS dengan Mexico semalam selepas 20 hari operasi agensi kerajaan ditutup atau shutdown.
Krisis itu menyaksikan kira-kira 800,000 penjawat awam tidak mempunyai kerja dan tidak dibayar gaji dan mungkin berlarutan lebih lama apabila Speaker Kongres, Nancy Pelosi juga menegaskan bahawa beliau tidak akan patuh dengan permintaan Trump untuk membina tembok tersebut yang bernilai AS$5.7 bilion (RM23.3 bilion).
Berikut adalah gambaran sama ada krisis yang melanda pentadbiran beberapa pendekatan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah yang menimpa pentadbiran kerajaan AS ketika ini.
Apakah jalan penyelesaian yang paling mudah?
Tiada sebarang jalan penyelesaian mudah untuk mengatasi masalah yang berlaku memandangkan kedua-dua parti komited dengan pendirian tegas mereka dan enggan mengalah.
Terdapat risiko berlakunya ‘pemberontakan’ dalam kedua-dua parti sekiranya Trump dan barisan kepemimpinan Demokrat bersetuju untuk melaksanakan pembinaan tembok terbabit.
Apa yang boleh dilakukan?
Sesetengah pihak beranggapan adalah lebih mudah jika Trump mengisytiharkan darurat dan berdasarkan undang-undang, beliau mempunyai autoriti untuk menggunakan sejumlah dana dalam bajet ketenteraan bagi membina tembok tersebut.
Bagaimanapun, idea tersebut tidak mudah untuk dilakukan dan kedua-dua parti juga menentang pelaksanaannya.
Ahli Republikan, Mac Thornberry yang memegang jawatan tertinggi dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan Senat menegaskan bahawa memperkasakan infrastruktur sempadan bukan tugas utama ketenteraan dan menolak perbelanjaan yang besar untuk tujuan tersebut.
Selain itu, kebanyakan ahli Republikan beranggapan Trump hanya membuka ruang kepada Demokrat untuk menuduh beliau mencabuli kuasa sebagai Presiden.
Rakyat menuduh Trump punca krisis shutdown, adakah Republikan tergugat?
Beberapa ahli Republikan terutamanya dalam kalangan senator tidak mahu krisis ini berlarutan dan mereka dilaporkan sudah berbincang dengan Ketua Majoriti Senat, Mitch McCornell, R-Ky dan pegawai-pegawai White House untuk berkompromi biarpun bakal berdepan dengan bantahan pihak lain.
McCornell bagaimanapun akan menentukan laluan serta keputusan ahli-ahli Republikan dan beliau sebelum ini pernah menyatakan untuk tidak campur tangan dalam krisis yang berlaku, selain menegaskan bahawa kedua-dua parti perlu saling bertolak ansur.
Demokrat dalam pada itu cuba menekan McCornell dengan menggambarkan krisis yang berlaku ketika ini mempengaruhi pengundi termasuk 80,000 penjawat awam yang terjejas akibat penutupan operasi.
Bagaimana pula dengan Demokrat?
Demokrat sehingga kini dilihat terus bersatu dan sedikit demi sedikit mencari kelemahan serta kesalahan Trump termasuk isu pendatang membabitkan dua kanak-kanak pendatang meninggal dunia ketika dalam jagaan pihak berkuasa AS.
Isu tersebut menyaksikan ahli-ahli Demokrat teguh dengan pendirian mereka tanpa bimbang dengan sebarang ancaman.
Adakah sebarang perjanjian atau persetujuan boleh dimeterai dalam masa terdekat?
Setakat ini, dilihat tiada sebarang persetujuan bakal dicapai antara kedua-dua parti dengan ahli-ahli Republikan lebih cederung untuk berkompromi dalam isu pembinaan tembok sempadan dan membantu ribuan pendatang muda yang tiba ke AS.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden, Mike Pence dilaporkan tidak memberi sebarang kenyataan terkini selepas mengadakan mesyuarat semalam.
Selain itu, Demokrat menyedari bahawa perjanjian dengan Trump dapat menyingkirkan golongan liberal dan berikrar akan terus menekan pentadbiran Presiden itu pada masa akan datang. – AGENSI










