Shahidan tidak hadir mahkamah kes cabul kerana dirawat di HKL - Utusan Malaysia

Shahidan tidak hadir mahkamah kes cabul kerana dirawat di HKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak hadir pada prosiding serahan dokumen bagi kes cabul remaja perempuan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Shahidan, 67, yang merupakan Ahli Parlimen Arau gagal hadir kerana dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam kerana masalah kesihatan.

Sehubungan itu, Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh baharu pada 18 Februari depan untuk serahan dokumen yang mana penyerahan perlu dilakukan terus kepada tertuduh.
Serahan dokumen akan dibuat mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah pada prosiding sama turut menetapkan pada 25 Februari depan untuk pihak tertuduh membuat representasi selepas dokumen tersebut diteliti.

Peguam mewakili Shahidan, Thalia Rohaina Abdul Latiff berkata, anak guamnya tidak dapat hadir pada prosiding sebutan kerana terpaksa dimasukkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan daripada pakar neurologi.

“Hari ini sepatutnya berlangsung serahan dokumen, namun tidak dapat dilakukan kerana dokumen itu perlu diserahkan terus kepada anak guamnya.

“Sehubungan itu, hakim menetapkan tarikh baharu iaitu 18 Februari depan untuk serahan dokumen dan seminggu selepas itu untuk kita membuat representasi berhubung dokumen yang diterima,” katanya ketika selepas prosiding semalam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail dan tertuduh diwakili barisan peguam Thalia Rohaina, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan serta peguam pemerhati keluarga mangsa, Mohd. Hapiz Rajali. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×