KUANTAN – Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun.
Sultan Ahmad Shah, 88, dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar dan istiadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975.
Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975 dan kemudian menjadi ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di Pertuan Agong ketujuh yang memerintah negara pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984.
Sultan Ahmad Shah merupakan seorang raja yang cukup dikenali kerana berjiwa rakyat dan penuh dengan sifat rendah diri, malah ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” sering menjadi pegangan baginda.
Tanpa mengira protokol dan darjat sebagai seorang yang berdarah diraja, Sultan Ahmad Shah merupakan antara orang yang terawal akan ‘menyinsing seluar’ mencemar duli melawat daerah-daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir, untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh kesah dengan rakyat.
Bagi Sultan Ahmad Shah, rakyat adalah keutamaannya dan baginda yang lebih mesra membahasakan dirinya `saya’ juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak untuk menegur pihak yang terlibat jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.
Ini terbukti apabila baginda menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands pada November 2014.
Begitu juga semasa kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT)pada November 2015, walaupun dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri keadaan itu dan mengarahkan penyelesaian dicari bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.
Dalam kalangan pengamal media pula baginda turut disayangi dan disenangi kerana sifat mesra baginda yang tidak keberatan untuk ditemubual setiap kali ditemui pada majlis-majlis baginda. – Bernama
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










