Semua pihak perlu serius - Windsor - Utusan Malaysia

Semua pihak perlu serius – Windsor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul menyambut baik pembaharuan yang cuba dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam usaha meningkatkan kualiti Liga Malaysia.

Antara usaha MFL ketika ini adalah untuk melahirkan pengadil profesional menerusi penubuhan badan bebas Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) serta mahu melaksanakan kawalan ekonomi seperti La Liga dalam membantu pasukan memantapkan pengurusan kewangan.

Bagaimanapun, Windsor percaya langkah itu perlu dilakukan dengan serius bukan sahaja oleh MFL, malah, semua pasukan bagi memastikan ia berjaya mencapai matlamat.

“Satu usaha yang baik bila ada perubahan atau penambahbaikan dibuat tapi ia harus dilakukan lebih serius dan perancangan teliti.

“Saya fikir bila sesuatu keputusan diambil oleh MFL, ia pasti sudah dikaji dan mengambil kira pandangan semua pihak yang terbabit. Semua pihak perlu main peranan bukan MFL sahaja,” katanya.

Menerusi penubuhan PMOM yang dicetuskan menerusi modul Pegawai Perlawanan Profesional Terhad ( PGMOL) yang mengendalikan pengadil Liga Perdana Inggeris, MFL bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) me­ngorak langkah untuk meningkatkan kualiti pengadil Malaysia yang kerap menjadi pertikaian ramai pihak.

Dalam masa sama, isu tunggakan gaji yang terus membe­lenggu beberapa pa­sukan tempatan turut dipandang serius oleh MFL yang bersedia menggunakan pendekatan La Liga menerusi sistem kawalan ekonomi yang terbukti berjaya melangsaikan hutang kelab-kelab Sepanyol dalam tempoh lima tahun sebanyak 90 juta euro (RM422.87 juta) sejak diperkenalkan pada 2012.

Justeru, Windsor tidak bersetuju jika Liga Malaysia bertaraf profesional kembali ke amatur sedangkan MFL sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kualiti liga.

“Semua orang mahu ke depan, mahu menjadi profesional, takkan Malaysia nak patah balik ke belakang (amatur). Untuk menjadi profesional, pemikiran kita juga kena profesional.

“Untuk menjadi profesional, banyak aspek diambil kira dari segi pengurusan, infrastruktur, pembangunan bukan hanya dikira kejayaan pasukan sahaja.

“Bila ada masalah, kita kena cari jalan penyelesaian. Ambil contoh kalau kita ambil pe­periksaan kalau gagal, kita cari jalan untuk atasi masalah itu, pergi tuisyen ke, takkan kita nak patah balik masuk tadika semula. Ia satu proses dan mengambil masa tapi apa yang penting semua pihak kena serius,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×