PUTRAJAYA 6 Jan.- Rombakan dan pertukaran jawatan kerajaan bukan sahaja melibatkan ketua-ketua setiausaha kementerian tetapi juga meliputi seluruh struktur perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar memaklumkan, proses itu dibuat bagi memastikan pentadbiran kerajaan lebih cekap apabila berlakunya pertukaran pengalaman serta kepakaran bidang masing-masing.
Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku lagi rombakan pada masa akan datang atau enam bulan akan datang bagi mengisi kekosongan ekoran terdapatnya ketua perkhidmatan yang bakal bersara.
“Saya ingin tegaskan rombakan ini tidak ada campur tangan politik kerana ia dilakukan secara profesional.
“Rombakan ini bagus kerana ia bersifat insklusif dan kerana kepakaran di kementerian lama dibawa ke kementerian baharu,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Tanpa Kenderaan Putrajaya di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai rombakan besar membabitkan pertukaran ketua Setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan yang berkuat kuasa esok.
Sebanyak 12 ketua setiausaha kementerian dalam pertukaran berkenaan iaitu tujuh membabitkan pertukaran kementerian manakala lima lagi membabitkan kenaikan pangkat sebagai KSU baharu.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim ditukarkan ke Kementerian Kerja Raya dan tempat beliau digantikan oleh Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas yang sebelum ini di Kementerian Pendidikan.
Ketika ditanya berhubung ura-ura sama ada Alwi terus kekal di Kementerian Dalam Negeri, Ismail menjelaskan, senarai rombakan itu tetap diteruskan dan tidak perubahan.-UTUSAN ONLINE










