IPOH 7 Jan. – Ribut yang melanda di Manjoi serta beberapa lokasi lain di sini semalam, turut mengakibatkan kerosakan dua buah kereta dan rumah milik Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak, Muhammad Iqbal Dinzly Muhamad Saifuddin.
Muhammad Iqbal Dinzly, 38, yang merupakan abang kepada pelakon Iqram Dinzly berkata, kejadian itu hanya disedari beliau selepas dihubungi oleh sepupunya selepas waktu Asar petang semalam.
“Sewaktu kejadian, saya tiada di rumah. Dulu ada juga kejadian atap rumah tercabut kerana kawasan sekitar ini merupakan laluan angin, namun selepas menetap di sini lebih 30 tahun, pokok depan rumah tumbang dan akhirnya terkena kediaman sendiri.
“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan dengan menebang dahan-dahan pokok yang terlalu merimbun khususnya di kawasan perumahan kerana ada antaranya bukan berakar tunjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Tahan di sini selepas membuat laporan polis mengenai kerosakan menimpa harta bendanya termasuk kereta Proton Exora dan Gen 2 miliknya yang diletakkan di hadapan rumah.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Iqbal Dinzly, Lalitol Akmar Mohd Shaffie, 69, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang duduk di dalam bilik di tingkat atas di rumah bersebelahan.
“Pada awalnya, hujan turun rintik-rintik berbunyi kasar sebelum lama-kelamaan turun dengan lebat secara mengejut. Saya tengok di tingkap, air hujan berpusing-pusing atas jalan.
“Kemudian, saya cuba buka pintu tetapi tidak boleh sebab hujan lebat sangat. Kali kedua saya tengok di tingkap, pokok sudah tumbang menghempap kereta dan rumah anak saya,” katanya.
Namun begitu, Lalitol Akmar bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan redha dengan kekuasaan Allah.
Dia juga mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak bomba, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga turun padang meninjau lokasi kejadian.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebanyak lapan keluarga melibatkan 29 mangsa masih ditempatkan di Dewan Surau Al-Husseiniah, Jalan Kolam, Kampung Tengku Hussein Lama di sini.
Kerja-kerja pembersihan pokok tumbang juga giat dilakukan oleh MBI di sekitar Manjoi, Jalan Silibin, Kledang Raya dan Pangsapuri Cherry di sini. – UTUSAN ONLINE










