Red Giants mencari keserasian - Utusan Malaysia

Red Giants mencari keserasian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Persa­tuan Bola Sepak Selangor (FAS) amat berharap Red Giants yang dibarisi beberapa wajah baharu dapat segera membina keserasian dan sekali gus memupuk kehormonian dalam bilik persalinan.

JOHAN KAMAL
JOHAN KAMAL 

Setiausaha Agungnya, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, berdasarkan persiapan Selangor sepanjang pramusim, dia amat berpuas hati dengan kombinasi di antara pemain setakat ini dan percaya menerusi perlawanan persahabatan keserasian akan dapat dibentuk.

“Sasaran Selangor adalah untuk berada dalam dua pasukan teratas Liga Super dengan memenangi trofi sama ada Piala FA ataupun Piala Malaysia. Namun, pasukan masih dalam proses mengenali antara satu sama lain, selain mempunyai ramai pemain baharu, jurulatih kita juga baharu.

“Begitupun, setiap kali aksi persahabatan, saya lihat keserasian pemain semakin baik dan harap dapat diteruskan sepanjang musim. Apa yang paling penting ialah mereka mampu mencipta suasana harmoni dalam bilik persalinan.

“Saya yakin dengan pemain yang kita ada, mereka mempunyai kualiti tersendiri dan sekarang kita cuma perlu berusaha bagaimana mahu memastikan mereka bermain secara berpasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Selangor yang melakukan jelajah pramusim mereka di Thailand telah menewaskan MOF Customs 3-0 pada 14 Januari lalu, dan kemudian diikat dengan keputusan 1-1 menentang Chonburi FC pada keesokan harinya sebelum menewaskan Thai Honda 2-1 pada 17 Januari.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pencabar Selangor, musim ini, Johan mengakui berdasarkan persiapan pramusim semua pasukan, Red Giants tidak akan diberi laluan mudah untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) 2019.

“Semua pasukan melakukan persiapan rapi dengan mengadakan jelajah pramusim di luar negara seperti di Thailand dan Vietnam. Banyak aksi persahabatan diadakan, malah, setiap pasukan mengambil pemain tempatan dan import yang berkualiti.

“Semestinya semua pasukan Liga Super menjadi ancaman kepada kami terutamanya Pahang, Kedah, Terengganu, Perak dan JDT (Johor Darul Ta’zim),” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×