KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM2,500 di dalam dua buah kotak di jeti feri Pelabuhan Klang di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, rampasan dilakukan dilakukan menerusi Ops Pensura pukul 4.30 petang yang mengesan dua buah kotak diletakkan dalam keadaan mencurigakan di jeti berkenaan.
“PPM menunggu sehingga sejam di kawasan berkenaan namun didapati tiada pemilik atau suspek yang mengambil kotak tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun di dalam kotak tersebut bernilai RM2,500,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Khairuddin, pihaknya percaya mercun itu cuba diseludup ke Pulau Ketam sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.
Kes kini disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957. – K! ONLINE










