GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang bakal menikmati rumah bersepadu mampu milik yang pertama di negeri iniiaitu di Batu Maung yang projeknya bakal dimulakan seawal tahun hadapan.
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, tapak projek perumahan mampu milik itu kini dalam proses pemilihan pemaju perumahan melalui tender terbuka.
“Tanah ini sebelumnya dimiliki oleh Kementerian Pertanian, tetapi apabila segala urusan penukaran tanah termasuk hal-hal pengurusan yang lain, projek ini akan dilaksanakan tahun hadapan. Sekarang ini kita juga tunggu pemaju-pemaju untuk masuk tender.
“Ini bermakna pemaju yang tampil dengan konsep rekabentuk yang baik dan model perniagaan yang bagus akan menjadi penilaian terhadap pemilihan pemaju,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek perumahan di Batu Maung di sini hari ini.
Katanya, pembinaan rumah mampu milik di keluasan 4.05 hektar daripada jumlah keluasan 14.16 hektar akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya kolam renang, dewan, lot meletak kenderaan dan sesuai dijadikan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi di situ. – Bernama









