PULAU PINANG 8 Jan. – Berlandaskan iltizam untuk menjadikan masjid sebagai nadi ummah, kumpulan sukarelawan Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang kini semakin mengorak langkah apabila mampu menarik perhatian lebih ramai golongan muda mendekati masjid.
Bermula dengan hanya enam sukarelawan pada 2016, kumpulan sukarelawan Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang kini mencapai keanggotaan 70 ahli yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda kariah Teluk Bahang.
Penasihat Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang, Safirol Iman Pisal, 37, berkata, idea untuk menubuhkan kumpulan sukarelawan masjid itu bermula apabila dia kembali untuk berkhidmat di Teluk Bahang sebagai Penghulu pada 2016.
Menurutnya, pada masa itu, dia mencari satu platform yang sesuai untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan di samping memakmurkan masjid dengan penglibatan semua pihak termasuk golongan muda.
“Sebelum penubuhan kumpulan ini, kita ada kumpulan Pemuda Kariah Masjid Teluk Bahang tetapi lebih tertumpu kepada remaja lelaki, namun Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang ini lebih membuka ruang kepada semua lapisan umur dan jantina.
“Jadi kita mentransformasi kumpulan ini menjadi Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang yang mana pelbagai aktiviti masyarakat diatur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Safirol Iman berkata, pelbagai aktiviti antaranya pendidikan percuma di masjid, sukan, kebajikan malah ekspo pekerjaan turut dianjurkan di masjid berkenaan menjadi penyebab golongan muda tidak lagi keberatan untuk mendekati masjid.
Katanya, program itu juga dapat mengubah persepsi yang mana masjid hanya lokasi untuk beribadah semata-mata kerana masjid seharusnya dijadikan platform untuk semua aktiviti melibatkan masyarakat.
“Kepakaran anak muda yang ada di dalam kumpulan ini digunakan sebaiknya untuk faedah masyarakat dan masjid, contohnya mereka yang mahir bidang teknikal akan membantu membaiki kerosakan masjid dengan kos yang paling minimum dan terkadang secara percuma.
“Pada masa depan, kita mahu kumpulan sukarelawan ini menjadi pengorak langkah dalam kegiatan sukarelawan di peringkat nasional yang menyumbang bukan sahaja idea tetapi kepakaran, tenaga dan wang ringgit,” katanya. – UTUSAN ONLINE










