ALOR SETAR 31 Dis. – Penggunaan racun perosak tidak berdaftar atau berstatus haram yang pernah didedahkan Utusan Malaysia sebelum ini masih belum menampakkan pengurangan, sebaliknya terus berleluasa dijual di pasaran gelap sekitar negeri ini dan Perlis.
Dipercayai kawalan pintu sempadan yang didakwa longgar menjadi antara faktor racun perosak haram berkenaan begitu mudah diseludup masuk.
Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban, yang mendakwa racun berkenaan disembunyikan dalam kontena atau lori membawa sayur-sayuran ketika memasuki negara ini.
Malah dakwanya, pihak tidak bertanggungjawab itu juga memanipulasikan dokumen kononnya racun perosak dibawa masuk itu sah, namun sebaliknya kandungan dalam produk berkenaan adalah haram.
Katanya, antara racun haram yang dibawa dari China itu adalah seperti produk cap tengkorak dan paraquat.
“Selalunya ketika melalui pemeriksaan di kawasan sempadan khususnya di Bukit Kayu Hitam, mereka akan memaklumkan kepada anggota penguat kuasa membawa sayur-sayuran tetapi racun tersebut disembunyikan di dalamnya.
“Bagi mengelirukan pihak berkuasa, bahagian hadapan kotak racun terbabit diletakkan logo sah, namun isi kandungan produk terbabit sebenarnya adalah tidak dibenarkan seperti Endosulfan bagi racun cap tengkorak dan Gramoxone bagi produk jenis paraquat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Shazwan, racun berkenaan dikesan dijual oleh segelintir pengusaha dan pengedar alat pertanian di sini, Pendang, Pulau Pinang dan Perlis.
Bagaimanapun dakwanya, tidak semua petani mendapat akses untuk membeli racun-racun makhluk perosak itu kerana tidak dijual secara terbuka bagi mengelak kegiatan mereka dilaporkan pihak berkuasa.










