KOTA BHARU – PUC Sport mengambil pendekatan membuat kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani masalah penjualan jersi tiruan The Red Warriors (TRW).
Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd. Shukry Pauzi berkata, itu merupakan salah satu langkah diambil pihaknya selepas diberi hak penajaaan lebih RM500,000 untuk pasukan bola sepak Kelantan musim 2019.
Katanya, beliau tidak akan memberi kelonggaran kepada pihak-pihak yang mengaut keuntungan dengan menjual jersi tiruan TRW dan tindakan tegas akan diambil dengan lantikan peguam.
“Pihak PUC Sport akan sentiasa membuat pemantauan di semua lokasi panas seperti di Plaza Tar, GM Chowkit, Jalan Kenanga, Danau Kota, Rantau Panjang dan di persekitaran stadium.
“Pihaknya juga memohon kerjasama dengan orang ramai untuk melaporkan kes tersebut kepada pihaknya. Tiada toleransi kepada semua pihak yang menjual jersi tanpa izin.
“Apatah lagi yang membuat jersi tiruan dan menjualnya kepada umum,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, mungkin penyokong memandang rendah terhadap isu penjualan jersi tiruan itu tetapi jualan jersi turut memainkan peranan untuk membantu kelab terus kekal bersaing.
Jelasnya, setiap pembelian jersi palsu sebenarnya adalah tidak menghormati pasukan apatah lagi kepada pereka jersi yang sudah bersusah payah menghasilkan jersi untuk pasukan.
“Setiap pembelian jersi tiruan hanya akan menguntungkan penjual yang telah mencuri hasil kerja orang lain.
“Jika anda benar-benar sayangkan pasukan anda, belilah yang tulen dan elakkan membeli jersi tiruan,” ujarnya.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan jersi tersebut atau pelbagai barangan sukan lain melalui pembelian secara online di www.pucsport.com.
Pembelian secara mobile juga boleh dilakukan menerusi aplikasi Puc Sport di App Store. – K! ONLINE











