KUALA LUMPUR- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan pulangan dividen sebanyak empat peratus bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2018.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian dividen berkenaan melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM114.55 juta seterusnya memberi manfaat kepada lebih 3.91 juta pendeposit SSPN.
“Pada tahun 2018, PTPTN berjaya mencapai kutipan deposit SSPN berjumlah RM1.13 bilion berbanding sasaran tahunan sebanyak RM625 juta. Ini merupakan jumlah tabungan tertinggi yang dicapai sejak produk SSPN dilancar pada 2004.
“Kadar dividen itu diberikan berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang dibuat oleh pendeposit dan kami masih mengekalkan kadar dividen SSPN yang kompetetif meskipun dalam suasana ekonomi mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pengagihan dividen SSPN pada tahun 2018 dan ganjaran kesetian SSPN-i di Menara PTPTN di sini tadi.
Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff. – K! ONLINE










