CAMERON HIGHLANDS – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands (P.078) bermula pada pukul 9 pagi ini di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini.
Calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga pukul 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK, Datuk Ishak Md. Nais mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada kira-kira pukul 11 pagi.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, setakat pukul 5 petang semalam, sebanyak 11 set borang pencalonan telah dibeli dengan tiga set masing-masing oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan calon bebas, manakala dua set lagi oleh Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).
Setakat ini, PH mengumumkan M. Manogaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang sebagai calonnya manakala BN mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis daripada komuniti Orang Asli tempatan, Ramli Mohd. Nor sebagai calon.
Selain itu, Tan Sri M. Kayveas daripada MyPPP juga sebelum ini mengumumkan akan bertanding di PRK itu.
PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).
SPR juga menetapkan 13 Januari sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal (22 Januari), semakan peti undi (25 Januari), manakala hari pengundian pada 26 Januari dan buat julung kalinya suruhanjaya itu akan menyiarkan lintas langsung proses penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi di laman Facebook SPR (www.facebook.com/sprgovmy/). – Bernama










