SHAH ALAM – Polis telah menerima satu laporan berkaitan seorang tahanan Maritim Malaysia (APMM) yang ditemui mati dalam keadaan tergantung dalam lokap APMM, Tajung Harapan di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, laporan polis tersebut dibuat oleh ahli keluarga mangsa yang mendakwa suspek dipukul dan didera semasa dalam tahanan sebelum beliau ditemui mati tergantung.
“Saya sahkan telah menerima satu laporan yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Balai Polis Sultan Suleiman kelmarin.
“Kita akan menyiasat laporan tersebut dan melihat secara menyeluruh jika ada unsur-unsur kecuaian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Nurulhuda, setakat ini pihaknya masih mengklafikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR).
“Kita masih berpandukan kepada laporan bedah siasat daripada pihak forensik dan laporan itu mengatakan tiada unsur jenayah dan kes tersebut diklafikasikan sebagai mati mengejut.
“Bagaimanapun, siasatan sedang berjalan dan perkembangan kes ini akan diberitahu dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sebelum ini Kosmo Online melaporkan, seorang suspek yang ditahan Maritim Malaysia (APMM) kerana menyeludup 22 ketul syabu seberat 23 kilogram melalui perairan Tanjung Rhu, Sepang dekat sini, Rabu lalu ditemui mati selepas dipercayai menggantung diri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditemui tergantung pada jeriji di dalam lokap APMM Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di sini.
Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan seorang nelayan telah menggantungkan dirinya pada jeriji besi dengan menggunakan baju lokap APMM. – K! ONLINE










