SERDANG – Polis berjaya merampas sejumlah 1127 mesin simulator judi online bernilai RM2.7 juta di sebuah gudang di Jalan BS/10, Pusat Perniagaan Bukit Serdang di Seri Kembangan di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemua mesin tersebut dipercayai untuk pasaran premis-premis judi online di seluruh negara.
“Mesin-mesin tersebut diimport dalam bentuk beberapa bahagian yang kemudiannya dipasang di gudang berkenaan.
“Kesemua mesin tersebut berada dalam keadaan tidak berfungsi dan semasa serbuan dilakukan tiada penjaga ditemui namun terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Mesin Simulator Judi Online di lokasi tersebut hari ini.
Ismadi menambah, sindiket tersebut dipercayai membekalkan mesin-mesin tersebut kepada hampir 1000 buah premis.
“Kita percaya mereka sudah simpan kesemua mesin itu selama hampir dua bulan kerana melihatkan keadaannya yang masih baru dan berada di dalam kotak.
“Usaha sedang digiatkan untuk mengesan dalang yang terlibat di dalam sindiket tersebut ,” ujarnya.
Serbuan tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan kesemua barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE










