JOHOR BAHRU – Polis menafikan penularan dakwaan palsu di media sosial berhubung penemuan mayat kanak-kanak lelaki di Dusun Damai, Pagoh, Muar hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mendapati itu merupakan kes kehilangan kanak-kanak di Seberang Perai pada 22 Januari lalu.
Katanya, kanak-kanak terbabit telah ditemui dalam keadaan selamat di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
“Sehubungan itu, polis menasihati pengguna media sosial untuk menghentikan penyebaran isu-isu sensitif dan berita tidak benar.
“Sebarang maklumat yang diterima perlu diperiksa dan dirujuk kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan kesahihan sebelum disebar,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zaharudin, tindakan tidak bertanggungjawab dengan menyebar berita palsu hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. – K! ONLINE.











