PM Bangladesh menang besar - Utusan Malaysia

PM Bangladesh menang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina diumumkan menang besar semalam dalam pilihan raya Parlimen yang dicemari keganasan serta dilabel pembangkang sebagai huru-hara dan penuh penipuan.

Parti Liga Awami pimpinan Sheikh Hasina dan sekutunya memenangi 288 daripada 300 kerusi Parlimen, manakala pembangkang cuma memperoleh enam kerusi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Helal Uddin Ahmed.

Pilihan raya kelmarin itu yang memberikan penggal pemerin­tahan keempat buat Sheikh Hasina, dicemari pertempuran antara penyokong parti peme­rintah dan pembangkang yang menyaksikan seramai 17 orang terbunuh di samping dakwaan ugutan di pusat-pusat mengundi dan penipuan peti undi.

Sheikh Hasina, 71, menerima pujian kerana usaha beliau memulihkan pertumbuhan ekonomi negara miskin itu sepanjang 10 tahun pemerintahannya termasuk menerima kemasukan pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar.

Bagaimanapun, beliau dikritik kerana mengamalkan kuku besi termasuk mengambil tindakan keras ke atas perikatan pembangkang diketuai Parti Nasional Bangladesh (BNP) yang menuntut suruhanjaya pilihan raya negara itu membatalkan keputusan pilihan raya tersebut.

“Kami menuntut supaya pilihan raya baru diadakan secepat mungkin,” kata ketua perikatan pembangkang, Kamal Hossain kepada wartawan.

Sebanyak 13 orang terbunuh dalam pertempuran antara penyokong Liga Awami dan BNP, jelas polis, sementara tiga lelaki ditembak mati oleh pihak polis. Seorang anggota polis bantuan turut terbunuh dalam pertempuran dengan aktivis pembangkang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN