NILAI – Pistol yang digunakan oleh seorang imam di Masjid Kampung Bukit Kadir dekat sini semasa berselisih faham dengan isterinya berhubung dua batang pokok rambutan di rumah mereka pada 24 Januari lalu disahkan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pistol jenis Revolver yang berjaya ditemui semalam itu dilaporkan hilang dari stor senjata Balai Polis Kuala Pilah pada 31 Disember 2007.
Menurut beliau, pistol itu dipercayai diambil secara curang oleh suspek semasa dia bertugas sebagai anggota polis berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.
“Perkara ini terdedah selepas polis melakukan pemeriksaan keatas nombor siri pistol itu. Suspek turut mengaku pistol itu milik PDRM yang dia ambil secara tidak amanah.
“Dia merupakan penolong pegawai bertugas di Cawangan Persenjataan IPD Kuala Pilah semasa melakukan perbuatan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Kelmarin Akhbar Kosmo! melaporkan seorang imam berusia 63 tahun ditahan polis kerana disyaki memukul isterinya sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol gara-gara berselisih faham dengan isterinya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, suspek bertindak demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya memajak pokok rambutan di rumah mereka yang telah berbuah kepada penduduk kampung.
Polis berjaya menemui pistol jenis Revolver itu yang ditanam oleh suspek di sebuah kawasan di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor semalam.
Suspek yang bersara pada tahun 2015 dan berkhidmat sebagai Imam 2 di Masjid Kampung Bukit Kadir ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Januari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – K! ONLINE











