LONDON – Pemain baharu kelab bola sepak Inggeris, Cardiff City yang dibeli daripada kelab Nantes pada harga £15 juta (RM80 juta), Emiliano Sala (gambar kecil) dikhuatiri terkorban selepas pesawat yang dinaikinya hilang dari radar di Selat Inggeris, kelmarin, lapor portal berita Metro.co semalam.
Penyerang berumur 28 tahun itu disahkan berada dalam pesawat ringan berkenaan yang terhempas sejurus selepas juruterbangnya meminta kebenaran untuk mendarat di Guernsey kelmarin.
Sala yang baru sahaja diumumkan sebagai pemain Cardiff City pada Sabtu lalu itu turut berkongsi kegembiraan menyertai kelab bola sepak tersebut menerusi statusnya di laman Twitter.
Pesawat yang dinaiki bintang bola sepak itu dipercayai hilang berhampiran rumah api Casquets di Alderney, Kepulauan Channel.
Operasi pencarian di darat dan laut secara besar-besaran telah dilancarkan namun, ditunda untuk seketika pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) semalam ekoran cuaca semakin buruk.
Sementara itu, pengerusi Cardiff City, Mehmet Dalman berkata, pihaknya amat bimbang dengan berita terbaharu mengenai kehilangan pesawat ringan itu.
“Kami masih menunggu pengesahan sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut. Kami amat bimbang terhadap keselamatan Emiliano Sala,” katanya. – Agensi










