Perlis setuju lepaskan Zafuan - Utusan Malaysia

Perlis setuju lepaskan Zafuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JODOH penyerang skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Mohd. Zafuan Azeman bersama Perlis tidak berpanjangan setelah kontraknya ditamatkan oleh pasukan itu kerana tidak dijamin tempat dalam kesebelasan utama skuad Singa Utara musim ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dalam satu ke­nyataan semalam yang me­ngakui telah memberi ‘lampu hijau’ untuk Zafuan berhijrah ke pasukan Pulau Pinang.

“PFA mengambil keputusan untuk melepaskan Zafuan (Azeman) ke pasukan Pulau Pinang hasil persetujuan bersama semua pihak tanpa sebarang syarat.

“Langkah ini bertujuan memastikan Zafuan mendapat lebih banyak minit permainan dalam misi mence­rahkan peluangnya berhijrah ke luar negara pada masa depan,” kata satu kenyataan rasmi PFA semalam.

Sementara itu, ejen Za­fuan daripada syarikat Exeliq Sports Management, Faidauz Azhar mengesahkan kontrak yang ditandatangani oleh anak buahnya termaktub beberapa klausa yang membenarkannya berhijrah secara percuma.

“Kontrak Zafuan bersama PFA sebelum ini adalah sah. Namun, terdapat klausa di dalam kontrak Zafuan yang membenarkan dia berhijrah jika pasukan baharu gagal menjanjikan kesebelasan utama selain memberi tawaran lebih baik.

“Pihak pengurusan Pulau Pinang juga telah menggunakan saluran betul untuk berunding dengan Presiden PFA (Datuk Ahmad Amizal Shaifit) serta Zafuan dalam memastikan perpindahan ini menjadi realiti,” katanya.

Sebagai rekod, Zafuan menandatangani kontrak jangka panjang bersama Singa Utara pada awal bulan ini sebelum membuat kejutan mewakili Pulau Pinang pada aksi persahabatan pramusim menentang PKNP FC Ahad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN