JOHOR BAHRU 5 Jan. – Kerajaan negeri didesak untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah kerana mengeluarkan kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Md. Saleeheen Mohamad berkata, tindakan itu wajar ekoran perbuatan biadab Mohammad Kamarul terhadap institusi Diraja negeri ini.
“Sebagai seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang dilantik, dia perlu memahami peranan dan tanggungjawab sebagai seorang penjawat awam.
“Menteri Besar, Datuk Osman Sapian perlu memainkan peranan dengan memecat mahupun menarik balik kedudukannya selaku ahli majlis sebagai pengajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Kenyataan itu dibuat Mohammad Kamarul dalam laman Facebook miliknya semalam sebelum dia dipercayai telah memadam kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE










