Perjuangan Pas semakin disedari, diterima masyarakat - Utusan Malaysia

Perjuangan Pas semakin disedari, diterima masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Jan. – Populariti Pas yang dikatakan mengatasi UMNO dalam soal melindungi Melayu dan Islam berdasarkan tinjauan Ilham Centre menunjukkan perjuangan parti itu dalam memartabatkan Islam di negara ini semakin disedari dan diterima masyarakat.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan yang semakin meningkat itu merupakan cabaran kepada Pas untuk membuktikan parti itu benar-benar mampu menjadi pembela kepada orang Melayu dan agama Islam.

“Selain itu, Pas juga kena buktikan kita membawa cita-cita Islam yang membawa kebaikan kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira sama ada mereka orang Islam atau bukan orang Islam.

“Ini kerana agama Islam ini adalah untuk semua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Dr. Mohd. Yusri Ibrahim hari ini mendedahkan, hasil tinjauan terhadap 2,614 responden di seluruh negara mendapati 30 peratus orang Melayu-Islam memilih Pas sebagai pelindung utama isu Melayu dan Islam dan 27 peratus lagi memilih UMNO.

Sementara itu, PKR menduduki tempat ketiga iaitu sebanyak 17 peratus diikuti oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 4 peratus dan Parti Amanah Negara (Amanah) 3 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, pentadbiran Pas di Kelantan yang mengamalkan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ tanpa mendiskriminasi masyarakat bukan Islam merupakan antara faktor parti itu semakin diyakini masyarakat.

“Pentadbiran Islam di Kelantan adalah kejayaan besar kita setakat ini.

“Sebab itu saya pernah sebut, kalau Pas di Terengganu boleh buat perkara sama seperti di Kelantan, maka ini akan mengukuhkan lagi penerimaan rakyat terhadap Pas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×