Peringatan Sultan Sallehuddin perlu diberi perhatian - Utusan Malaysia

Peringatan Sultan Sallehuddin perlu diberi perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 21 Jan. – Peringatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mahu kerajaan negeri melakukan sesuatu supaya rakyat Kedah tidak lagi susah perlu diberi perhatian serius.

AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI 

Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu program atau projek yang boleh memberi impak sekali gus membuka ruang kepada mereka menikmati hasilnya.

Namun beliau berpendapat bahawa kerajaan Pakatan Harapan Kedah masih tidak mampu untuk mengenengah idea-idea baharu untuk pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Kerajaan negeri perlu mengemukakan pelan strategik pembangunan ekonomi di Kedah dengan terancang. Dalam masa sama, pelan atau langkah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat juga perlu diberikan perhatian.

“Masyarakat luar bandar khususnya petani, nelayan dan penoreh getah dilihat masih dibelengu kesusahan terutama apabila harga komoditi itu jatuh mendadak. Kita kena turun ke bawah untuk melihat semua ini kerana masih banyak rakyat yang memerlukan perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Sallehuddin dalam wawancara yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini yang antaranya mahu melihat perubahan agar rakyat di negeri tidak lagi susah.

Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin berkata, Sultan Sallehuddin amat prihatin mengenai penderitaan yang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik saranan Sultan Sallehuddin yang mahu kawasan bersejarah seperti Kuala Kedah dan beberapa lagi tempat dibangunkan menjadi lokasi tarikan pelancongan.
 
“Jika ada pusat pelancongan baharu atau dibangunkan kawasan pelancongan tersebut secara tidak langsung juga boleh meningkatkan ekonomi di negeri ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN